Zainal Abidin
bin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba
merupakan seorang Sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat
menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang
kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya
meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau
merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun,
aktif dalam kegiatan penulisan termasuk perterjemahan. Aktiviti beliau juga
tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan,
Maktab Perguruan Sultan Idris.
Kehidupan Awal:
Ayahnya berketurunan Bugis Linggi adalah seorang yang berharta, berpengetahuan
agama dan satu-satunya penduduk kampung itu yang pandai membaca dan menulis
ayat dalam bahasa Jawi. Ibunya meninggal dunia ketika Zaaba berumur 12 tahun.
Zaaba menerima
pendidikan awal di rumahnya sendiri. Beliau diajar untuk mengaji al-Quran dan
membaca sejak berumur lima tahun. Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi
di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Disebabkan beliau sudah bijak membaca,
menulis Jawi dan rumi, beliau ditempatkan dalam darjah tiga. Beliau menyambung
pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu
pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan 1915.
Kerjaya awal:
Zaaba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916
di English College dan kemudiannya bertukar ke:
-
1918
(Kolej Melayu Kuala Kangsar)
-
1923
(Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur)
-
1924
(Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim)
-
1939
(Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942)
-
1942
(Pusat Pengajian Kalian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951)
-
1954
(Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959)
Zaaba adalah
seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan.
Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar tempatan dan
majalah-majalah seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pengasuh dan Pakar
Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu,
termasuk Bahasa Pelita dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain
termasuk cerita-cerita shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang
Chap, Singapura.
Artikel
pertamanya yang berjudul “Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling” diterbitkan
sebanyak dua kali dalam akhbar Utusan Malaya. Buku pertamanya yang bertajuk
“Umbi Kemajuan” merupakan penulisan semula karangan rencana keugamaan yang
diterbitkan pada tahun 1932. Zaaba mula menulis secara aktif semasa beliau
menjadi guru sementara di Johor Bahru pada tahun 1916.
Bakat Pendeta
Zaaba terserlah kerana beliau menyentuh mengenai aspek-aspek bahasa,
kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan dan politik dalam hasil karyanya.
Karyawan yang disegani ini pernah mengarang cerpen, novel dan buku-buku rujukan
tatabahasa dalam Bahasa Melayu.
Antara hasil
karyanya ialah Journalism in Malaya yang diterbitkan pada tahun 1947, Ilmu
Mengarang Melayu (1934), Pelita Bahasa Melayu I, Pelita Bahasa Melayu II, dan
Pelita Bahasa Melayu III (1958). Universiti Malaya telah menamakan salah sebuah
perpustakaannya sempena nama Zaaba (Perpustakaan Peringatan Zaaba) bagi
mengenang jasa beliau kepada perkembangan Bahasa Melayu.
Untuk
menghargai jasa beliau, Zaaba telah dianugerahkan:
-
1956:
Gelaran Pendeta Bahasa Melayu di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga.
-
1959:
Doktor Persuratan dari Universiti Malaya.
-
1973:
Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
-
1962:
Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri.
Kesihatan Zaaba
semakin terjejas apabila umurnya semakin meningkat. Akhirnya pada 23 Oktober
1973, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pemergian beliau sebagai
seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara.
Sumbangan beliau terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya
No comments:
Post a Comment