Saturday, 9 September 2017

LATIHAN KATA KERJA


KATA KERJA (TRANSITIF & TAK TRANSITIF)
Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu oleh manusia, haiwan atau benda.

Kata kerja terdiri daripada:
-          Kata kerja transitif
-          Kata kerja tak transitif

Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama sebagai predikat dalam ayat. Contoh:
-          Kakak suka membaca buku.
-          Emak sedang mencuci baju.
-          Adik tertelan tulang ikan.
-          Abang menendang bola.
-          Saya menaiki bas.
-          Dia mempelajari bahasa asing.

Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang sempurna maknanya dengan tidak memerlukan objek. Contoh:
-          Abu sedang tidur.
-          Jamilah berjalan menuju ke kantin.
-          Jamil menyanyi sambil menari.
-          Wusman termenung memikirkan nasibnya.
-          Mereka berpelukan sebaik saja bertemu.
-           
Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa objek, contoh ayat: Mereka berdua asyik berbual.

Kata kerja tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Antara unsur yang boleh menjadi pelengkap ialah kata adjektif, frasa sendi nama dan kata nama. Contoh ayat:
-          Kehidupannya menjadi semakin miskin. (Kata adjektif)
-          Mereka sekeluarga tinggal di Johor. (Frasa sendi nama)
-          Pengemis itu tidur berselimutkan surat khabar. (Kata nama)

No comments:

Post a Comment