DEFINISI SINTAKSIS.
Jika ditinjau asal-usul perkataan sintaksis, kata ini berasal daripada perkataan Yunani, iaitu sun yang bererti 'dengan' dan tattein yang bererti 'menempatkan kata-kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat'. Kata suntattein ini kemudian menjadi istilah syntaxis dalam bahasa Belanda, dan synta dalam bahasa Inggeris.
Sintaksis ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, binaan atau konstruksi ayat (Nik Safiah Karim et al., 1993;317). Bagi Abdullah Hassan (1980;164), sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat, iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.
Contohnya :
Budak itu baru pulang dari sekolah.
Daripada contoh, binaan tersebut ialah ayat. Ayat tersebut mengandungi satu klausa yang terdiri daripada subjek iaitu budak itu, dan predikatnya baru pulang dari sekolah. Dalam klausa tersebut pula mengandungi satuan yang disebut frasa, iaitu frasa budak itu, baru pulang dari sekolah. Dengan kata lain, ayat tersebut terdiri daripada konstituen frasa dan konstituen klausa.
Daripada pelbagai definisi tersebut, dapat dirumuskan bahawa sintaksis sebagai kajian tentang bagaimana ayat-ayat dibentuk bermula dengan penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa, dan ayat.
Dalam pembahasan sintaksis, yang dibincangkan ialah struktur frasa, klausa dan ayat. Hal ini bermakna bahawa satuan yang paling kecil dikaji dalam sintaksis ialah frasa manakala satuan yang paling besar ialah ayat.
Menurut Nik Safiah Karim (2008), sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
- Bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat.
- Melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa mengenai cara-cara penggabungan ayat.
- Selain itu, kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat melalui jenis-jenis ayat dan ragam ayat.
No comments:
Post a Comment